Alhijrah Media Corporation

info@tvalhijrah.com

Simbol Penyiaran
Era Baru

Diasaskan pada 16 September 2009, TV AlHijrah merupakan satu-satunya saluran televisyen berdefinisi tingga percuma (FTA) milik kerajaan berdefinisi tinggi yang berkonsepkan hiburan islamik yang pertama di Malaysia.


TV AlHijrah yang diuruskan oleh AlHijrah Media Corporation merupakan satu inisiatif kerajaan dalam mewujudkan saluran televisyen yang mempromosikan Islam sebagai gaya hidup melalui kandungan kerohanian berimpak tinggi yang disiarkan.


Stesen TV AlHijrah adalah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat dan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu dan kelulusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI). TV AlHijrah diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan melapor kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)


Pada 1 November 2010, siaran percubaan stesen TV AlHijrah bermula dengan tetapan waktu siaran 9 jam sehari pada hari Isnin hingga Khamis dan 12 jam sehari pada hari Jumaat hingga Ahad.


Setelah proses siaran percubaan tamat, sejarah tercipta apabila TV AlHijrah dilancarkan secara rasmi pada 1 Muharam 1432H bersamaan 7 Disember 2010 oleh Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dalam majlis yang penuh gilang gemilang di Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur.


Pada awal penyiaran, TV AlHijrah hanya dapat ditonton di lima kawasan sahaja iaitu di Lembah Klang, Terengganu, Mersing, Sabah dan Sarawak. Pada 1 Jun 2011, penambahbaikan diteruskan apabila TV AlHijrah berjaya memasuki platform siaran ASTRO dan memilih saluran 114 sebagai simbolik kepada 114 surah di dalam al-Quran. Waktu siaran TV AlHijrah juga dilanjutkan menjadi 24 jam sehari selaras dengan arus perkembangan stesen ini serta permintaan positif daripada penonton setianya.


TV AlHijrah yang bersiaran dari ibu pejabatnya di Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur kini dapat ditonton secara global setiap hari untuk kandungan hiburan islamik, berita terkini, perbincangan isu semasa, rancangan pendidikan yang mengikut arus semasa dan mengikut landasan syariah yang ditetapkan. Kandungan yang disiarkan oleh TV AlHijrah sesuai untuk dinikmati semua peringkat umur, kepelbagaian agama serta semua lapisan masyarakat.

TV AlHijrah boleh ditonton melalui siaran 114, aplikasi digital AlHijrah Plus, Unifi TV, ASTRO, My Freeview dan Njoi.