Hijrah Rasulullah S.A.W dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi merupakan satu perubahan era baru kepada penduduk Madinah khususnya serta seluruh umat Islam secara umumnya.
Manakan tidak, selain menjadi penanda signifikan permulaan 1 Muharam dalam kalendar Islam, hijrah Baginda Nabi Muhammad S.A.W juga adalah proses menghijrahkan keadaan umat Islam yang lemah kepada kuat, tertindas kepada berdaulat, dakwah terbatas kepada dakwah secara bebas serta penganiayaan kepada pembelaan.
Mengambil kira peri pentingnya peristiwa hijrah Nabi ini, TV AlHijrah memposisikan penubuhannya sebagai stesen penyiar Islam yang memainkan peranan penting sebagai medium penyebaran dakwah yang sentiasa membantu dan mengajak masyarakat melakukan perubahan yang berterusan ke arah kebaikan.
TV AlHijrah adalah perintis penyiaran yang membentuk serta menerbitkan penyiaran kandungan Islam dengan penarafan yang tinggi malah menjadi perintis stesen digital tinggi (HD) dalam industri penyiaran tempatan.
Sebagai stesen TV Islamik pertama yang memperkenalkan Islam sebagai gaya hidup, TV AlHijrah memainkan peranan penting sebagai platform perkongsian ilmu, maklumat dan pemikiran Islam untuk dikongsi bersama semua lapisan penonton.